KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) akan melancarkan Dasar Pembinaan Negara (NCP) 2030 bagi menjamin sektor infrastruktur bergerak ke hadapan.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, NCP 2030 yang akan dilancarkan tahun ini adalah garis panduan komprehensif bagi semua pemegang taruh dalam industri pembinaan untuk mendepani kemunculan teknologi dan cabaran baharu dalam negeri dan luar negara.
Bertemakan ‘Pendigitalan Sektor Pembinaan’ asas utama NCP 2030 untuk menyesuai dan mengguna pakai trend pada masa hadapan dengan lebih pantas, kata Fadillah dalam ucap utamanya semasa Simposium ‘Cabaran dan Peluang Pembangunan Infrastruktur di Borneo’ di sini. Simposium itu diadakan secara atas talian.
Justeru, beliau menggesa peserta simposium supaya bersama-sama KKR dalam menyokong NCP 2030 dengan menggunakan teknologi dan sistem data, inovasi dan automasi bagi setiap peringkat operasi untuk membina infrastruktur yang berkualiti dan mampan.
Beliau berkata, KKR akan berusaha mengurangkan cabaran dalam melaksanakan projek pembangunan infrastruktur yang turut terkesan akibat pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) awal tahun lalu.
Antara pendekatan yang akan diambil oleh KKR dalam mengurangi cabaran ialah bekerja rapat dengan pihak industri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membuka lebih banyak pusat sumber seperti kuari, pembekalan dan penugasan tenaga kerja, katanya.
Selain itu, katanya, KKR akan turut menggalakkan usaha sama antara syarikat tempatan dan syarikat ternama untuk meningkatkan daya saing dan keupayaan, menggalakkan pelaksanaan projek khusus berdasarkan kawasan dalam Pelan Pembangunan Rangkaian Lebuh Raya (HNDP) 2030 yang dibangunkan oleh KKR dan bekerjasama dengan JKR melaksanakan projek dibiayai oleh Kerajaan Pusat di Borneo.
Pada masa sama, tegas beliau, harus disedari bahawa cabaran amalan pembinaan sekarang termasuk terlalu bergantung kepada tenaga buruh, kadar kemalangan tinggi, populasi menua, penghijrahan dan kepelbagaian budaya, urbanisasi, kemunculan robot, sisa buangan industri yang tinggi dan kos pembinaan tinggi, memerlukan negara menggunakan teknologi dan pendigitalan jika mahu terus berdaya saing dan bertahan dalam industri pembinaan.
Penggunaan dan inovasi teknologi baharu menjadi keperluan dalam usaha meningkatkan produktiviti industri pembinaan, katanya.
Menurut Fadillah, meskipun Model Maklumat Bangunan (BIM) dan Sistem Binaan Berindustri (IBS) antara fokus awal dalam pembangunan sektor pembinaan, kerajaan turut giat mengenal pasti dan mengguna pakai bentuk teknologi lain yang boleh membangunkan industri berkenaan ke peringkat lebih tinggi.
Beliau berkata, menurut Forum Ekonomi Dunia (WEF), 10 teknologi terbaik yang boleh diguna pakai dalam sektor pembinaan ialah BIM, IBS, Bahan Binaan Bangunan Terbaharu, Pencetakan 3D dan Pengilangan Additif, Pembinaan Mengguna Automasi dan banyak lagi.
KKR, tambahnya, turut mengambil kira kepentingan dan inklusif dalam menggerakkan modal insan melalui program latihan semula meningkatkan kemahiran ke atas teknologi digital dan automasi terbaharu untuk memenuhi keperluan tenaga kerja bermahiran dalam industri pembinaan.
Fadillah menegaskan, satu lagi projek infrastruktur penting yang sedang dalam perancangan di negeri ini ialah menaik taraf jalan raya dari Persimpangan Kuala Baram ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ)
Sungai Tujoh, Miri, yang dijangka siap pada 2025.
Mengenai projek Lebun Raya Pan Borneo, beliau berkata, 12 pakej daripada 35 pakej Lebuh Raya Pan Borneo Sabah (Fasa 1) dari Sindumin ke Tawau (706 km) sedang dalam pembinaan dan siap 56 peratus manakala Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak (Fasa 1) mengandungi 11 pakej (786) dari Telok Melano ke Miri kini 70 peratus siap.
Sumber dari : Jiwa Bakti